"Segalanya bermula dengan mimpi" - Ikal [Sang Pemimpi]
Bismillahirrahmanirrahim...
Kali ini aku tulis sebuah tulisan khas untuk diriku sendiri. Boleh saja kalau anda ikut tumpang sekali, bersama saya untuk kita hadamkan isi-isi tulisanku ini. Semalam baru saja kuhabiskan sebuah cerita yang aku rasakan cukup indah dan realistik buat aku. Malah, cerita ini juga sudah secara rasminya menjadi sebuah inspirasi untuk aku terus mencapai cita-cita. Arai dan Ikal itu mengajar aku untuk sentiasa teguh mengejar mimpiku walau apa jua rintangan yang mendatang. Semakin dekat cita-cita kita untuk berhasil, semakin besar halangan yang akan mendatang. Tapi, jangan pernah berhenti untuk bermimpi dan berharap kepada Allah, kerna itulah yang membuatkan kita terus tsabat di jalan ini.
Ya, minggu depan merupakan harinya. Hari di mana aku akan pergi ke tempat baru dan akan berjumpa dengan teman-teman baru, sama-sama berjuang demi Allah s.w.t. Kenangan-kenangan aku bersama teman-teman lama tidak akan pernah padam dan seringkali disebalik aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama teman baru itu selalu muncul bayangan-bayangan lama. Ah, Allah saja yang tahu betapa rindunya hati ini pada mereka. Namun, hidup dan pengembaraan ini cuma sekali. Oleh itu, aku harus mula belajar untuk memandang ke hadapan kerana aku percaya di hadapan akan ada mereka, teman-temanku yang lama. Aku yakin satu hari nanti pasti kita akan bertemu lagi. Hanya masa, usaha dan keizinan Allah s.w.t yang membatasinya.
Kehidupan Arai, Ikal dan Jimbron seharian banyak membuatkan aku berfikir. Bagaimana mungkin mereka boleh berusaha keras sehingga berjaya dalam akademik walaupun setiap hari mereka membanting tulang menjadi buruh untuk mencari makan sehari-hari.. Bagaimana mungkin kehidupan mereka yang miskin itu mampu membawa mereka hingga ke Paris... Ternyata kekuatan mimpi atau keazaman itu adalah sesuatu kekuasaan Allah yang sangat hebat dan sekaligus membuktikan betapa hebatnya Allah itu sendiri.
Jadi masakan watak-watak yang benar itu boleh berjaya dan engkau tidak? Bila dilihat kembali, kehidupan mereka di Manggar itu jauh lebih teruk dari kehidupan kau di Auckland dan mana mungkin mereka boleh berjaya dan engkau tidak? Kunci mereka hanya satu; jangan pernah berhenti bermimpi! Iya, aku mahu kau fikir kembali. Masakan hari-hari yang sukar dapat mereka tempuhi dan kau menganggap dua pekerjaanmu itu takkan berhasil dengan jayanya. Malah, dua pekerjaanmu itu jauh lebih ringan secara kudratnya berbanding pekerjaan mereka. Kau dan mereka, masing-masing mempunyai persepsi yang sama; Pekerjaan kita bukanlah sesuatu yang mudah!
Allah sudah membuktikan bahawa mereka telah berjaya mencapai mimpi mereka dan mimpi kau pula bagaimana? Mimpi yang selalu kau laung-laungkan dalam hati itu bagaimana? Bagaimana dengan mimpi kau untuk sekalian manusia di dunia ini tunduk dan patuh padaNya? Apakah kau masih mempunyainya? Aku pasti jawapan itu adalah ya, kan!!
Jika kau yang sedang letih dan penat sepertinya mahu berputus asa sedang membacakan ini, ingatlah tatkala Arai dan Ikal itu bekerja keras di Jakarta selama tiga tahun lebih untuk mencapai mimpi mereka. Biarpun, tahun demi tahun berlalu, mereka masih bekerja keras untuk pergi ke Paris dan mimpi itu tidak pernah mereka lupakan. Masakan kau baru beberapa masa yang sedikit ini baru saja dicabar mahu mengalah? Ingat wahai diriku, Kota Konstatinopel itu tak pernah putus usahanya untuk ditawan oleh Muslim. Biarpun beratus-ratus tahun berlalu, namun semangat dan fikrah untuk membuktikan Allah dan Rasulullah itu benar masih sama dan serupa kepekatannya. Mahukah kau untuk berputus asa? Jangan pernah kau padamkan mimpi itu kerana halangan itu bersifat seperti biskut Mariemu. Temporary tetapi tidak putus.
Wahai diriku yang inginkan semangat untuk berjuang, ingatlah tatkala Aril itu selalu mengingatkan Ikal tentang mimpi mereka. Peringatan yang selalu itu banyak membantu mereka untuk memulihkan semangat mereka kembali. Maka pergilah mencari teman-teman baru atau lamamu untuk mereka mengingatkanmu selalu. Ingatkan saat-saat mimpi itu berjaya. Ingatkan saat-saat kejayaan kecil-kecilan kamu itu berhasil. Maka, tariklah nafasmu, bacalah dengan nama Allah, dan teruskan perjuanganmu walau kamu merangkak perlahan-lahan. Pada waktu itu ingatlah Allah sedang memerhatikan hambaNya sedang melawan nafsu keranaNya!
Tak usah kau tonton kembali cerita kegemaranmu itu. Cukup saja kau membaca nukilan ini berulang-kali buat kau sentiasa mengingati mimpimu itu. Tugasmu hanyalah dua sahaja, menjadi hamba dan khalifahNya. Aku yakin kau akan dapat lunaskan kerja duniamu itu, pelajar dan daie dengan sejaya-jayanya! Biar Allah saja yang membalas semua keringatmu, wahai diri!
Ayuh, bangkit kembali untuk gapai mimpimu!!
Ayuh, bangkit kembali untuk mencapai RedhaNya!!
Ayuh, bangkit kembali untuk masa depanmu yang hakiki itu!!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
p/s: this post is specially dedicated to myself and for those who can relate to. I wrote this in the hope of that I can boost myself in the future. Jazakallahu khair.
No comments:
Post a Comment