Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah....ya Rabb!
---------------
[♬Yiruma- Blind Film♬]
Aku terimbau kenangan lalu. Memori yang lepas. Betapa memori-memori ini mengajar aku erti syukur padaMu, ya Allah.
Aku teringat satu hari di surau besar kolejku. Petang itu, aku ada usrah dgn murabbiku, Kak Z. Kakak yang sangat berpengalaman..sangat banyak liqa' yang dia pernah kendalikan sehingga musim panas lepas aku menemuinya, dia tak ingat aku siapa. Mungkin jugak sebab aku dah berubah dari dulu. Makin tembam bila duduk di negara asing. Tak seaktif seperti aku dulu di kolejku. Kembali kepada memori..Petang itu, aku ada usrah dan aku juga punya latihan bola jaring. Aku tak ingat apa yang aku katakan tapi aku ingat yang keputusan aku adalah aku sanggup meluangkan masa usrahku beberapa puluh minit, kemudian aku akan ke latihan di padang. Petang itu, Coach Azmi, coach terbaik yang pernah aku ada, akan hadir ke latihan tersebut. Memang aku tak dapat nak tinggalkan latihan itu. Matilah kalau coach tahu aku tak datang. Rasa bersalah menghimpit diri. Dua-dua penting bagiku. Aku rasakan keputusan yang aku buat pada waktu itu keputusan yang terbaik. Win win situation untuk aku.
Bila aku mengimbau kembali, pasti terluka hati murabbiku pada waktu itu. Pasti sedih perasaannya. Sudahlah itu adalah liqa' terakhir kami bersama. Aku ingat lagi murabbiku memberi tafsir surah al-Asr sebaik sahaja dia mengetahui keputusanku. Baru sekarang aku faham mengapa dia memilih surah al-Asr pada waktu itu. Satu amanah buat kami untuk betul-betul menguruskan masa dan prioriti mana yang dahulu. Tapi aku pada waktu itu sangat 'keras' hatinya. Sampai masanya, aku pergi meminta izin, bersalaman dgn murabbiku buat kali itu dan pergi tanpa merasa apa-apa.
Ah, jahatnya aku! Sampai waktu ini bila mengimbau kembali memori ini, masih terpalit rasa bersalah di situ.
-------------------
Hari itu, antara hari bersejarah dalam hidupku. Hari di mana aku akan berlepas ke negara asing bersama tiga lagi kawan-kawanku. Murabbiku, Kak F ada menghantar pesanan kepadaku niatnya utk menghantarku di lapangan terbang KLIA. Sewaktu menunggu saat untuk pergi ke terminal, Kak F menghantar pesanan.
"Bella, akak lambat sikit. Akak sebenarnya baru je touchdown dari Sarawak. Akak otw nak berjumpa awak ni."
Rupanya, murabbiku baru saja turun dari kapal terbang dari Sarawak. Sibuknya dia...pasti dia sedang merasa penat. Namun, dalam kepenatan dan kesibukannya, dia sanggup berkejaran untuk menghantarku. Masa yang ditunggu telah tiba. Ramai sudah yang bersalaman dengan keluarga tercinta. Ramai sudah yang turun ke tingkat ke bawah dengan eskalator sambil melambai-lambai kepada ahli keluarga. Kelibat Kak F masih tiada. Pada waktu itu, ahli keluarga dan kawan-kawan sudah menyuruhku untuk pergi. Takut nanti pesawat terlepas, kata mereka. Selepas bersalaman dengan semua, kelibat murabbi masih belum lagi kelihatan. Maka aku turutkan sahaja langkah kawan-kawanku sambil melambai pergi.
Selepas aku sampai ke bilik menunggu, mesej masuk. Mesej dari murabbiku yang baru sahaja sampai dan berjumpa dengan keluargaku dan yang lain. Tak dapat aku berjumpa dengannya. Aku yakin murabbiku hanya terlambat beberapa minit. Pasti dia sedih kerana berkejaran namun akhirnya usahanya gagal untuk berjumpa dengan mutarabbinya.
Ah, jahatnya aku! Sampai waktu ini bila mengimbau kembali memori ini, masih terpalit rasa bersalah di situ.
-----------
Itu hanya dua memori yang masih aku ingat. Rasanya terlampau banyak benda yang aku pernah lakukan yang mengguris atau membuatkan murabbi-murabbiku sedih dan kecewa. Baru sekarang aku faham apa yang mereka rasa. Betapa sayangnya mereka pada mutarabbi-mutarabbi. Sanggup berpenat-lelah demi menyantuni kami, mendidik kami untuk menjadi Rijal ummah masa kini.
Segala memori ini aku galas bersama kerana memori-memori ini memnimbulkan rasa betapa bersyukurnya aku mendapat sentuhan murabbi itu. Betapa beruntungnya aku kerana masih lagi mendapat sentuhan murabbi-murabbi yang hebat. Allah masih lagi hadirkan seseorang untuk menyantuni aku. Semua ini membuatkan aku terharu..terharu dengan Allah, murabbi agungku! Dialah yang sebenarnya 'menyentuh' aku!
Alhamdulillah ya Allah atas segala nikmat iman, islam, hamasah, himmah, kasih sayang yang Engkau berikan kepadaku melalui hamba-hambaMu! Segala puji bagiMu kerana Kau masih lagi memilih aku untuk berada dalam pasukan pejuang kebenaranMu. Segala rasa kesyukuran ini menolak aku untuk terus memberikan apa yang aku termampu untuk jalanMu ini.
"..Bekerjalah wahai keluarga Dawud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur."
[34:13]
untuk semua murabbiku, kak A, kak Z, kak F, kak I dan kak F, jazakunallahu khayr kerana bersabar dengan saya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyantuni saya. Doakanlah moga saya terus tsabat menjadi rijal ummah yang terbaik seperti akak-akak semua. Saya doakan moga Allah terus memberi kekuatan iman dan ketenangan hati untuk kakak-kakak semua dalam menempuh hari-hari di jalan dakwah dan tarbiyah ini. Moga Allah redha dengan kita semua..aminn.